5 Destinasi Mesra Muslim Yang Mesti Anda Pergi!

Ayu Nadirah

5/10/2024

5_Destinasi_Mesra_Muslim_yang_Mesti_Anda_Pergi.png

Travel tu travel juga. Namun sebagai seorang Muslim, anda pasti akan terfikir kalau destinasi yang dituju itu mudah untuk mendapatkan makanan halal atau tidak, nak menunaikan solat di mana dan sebagainya. Di sini, kami kongsikan lima destinasi mesra Muslim yang boleh anda teroka, sama ada solo ataupun berteman. Selain hadir dengan pemandangan menakjubkan dan aktiviti yang menarik, destinasi ini juga biasa dikunjungi orang Islam kerana amat mudah untuk dapatkan makanan halal. Destinasi ini juga dibangunkan dengan banyak masjid atau ruang solat di dalam premis yang dapat memudahkan anda untuk berhenti sebentar bagi menunaikan kewajipan, sebelum meneruskan lagi perjalanan.

Jakarta

Jakarta.png

Kalau bercerita tentang Indonesia, memang ia menjadi antara destinasi pilihan rakyat Malaysia untuk pergi bercuti. Selain budaya yang tidak jauh bezanya, rakyat di sana juga amat terkenal dengan keramahan yang mengalu-alukan kedatangan orang luar. Ibu kota Jakarta boleh anda kunjungi jika anda memilih untuk melihat kesibukan bandarnya, namun masih mengagungkan elemen budaya asli Indonesia. Antara daya tarikan di sini adalah:

  • Taman Mini Indonesia Indah
  • National Museum of Indonesia
  • Monumen Nasional (Monas)

  • Merdeka Square
  • Masjid Istiqlal Jakarta
  • Kota Tua Jakarta
  • Pantai Ancol

Jakarta juga boleh dikatakan syurga membeli-belah. Anda boleh pergi ke Grand Indonesia Mall, Thamrin City Mall dan Tanah Abang umpamanya untuk dapatkan pelbagai keperluan seperti baju kebaya, kain pasang dan sebagainya. Selain itu, satu lagi tarikan popular yang ada di Jakarta adalah di Blok M. Kalau anda singgah ke sini, anda boleh jadi rambang mata dengan keunikan yang dipersembahkan. Terdapat tiga lokasi tarikan di Blok M ini yang menarik untuk anda teroka iaitu Blok M Plaza (pusat membeli-belah utama), Blok M Square (kawasan membeli-belah little Tokyo) dan M bloc. Selain boleh dapatkan banyak barangan unik dengan harga berpatutan, kawasan ini juga terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang boleh anda cuba.

Makanan halal juga sangat mudah untuk didapati di Jakarta. Antara yang menjadi kegemaran ramai sudah tentu hidngan autentik Indonesia di Pagi Sore. Tidak lengkap kunjungan anda ke Jakarta kalau tidak merasai pengalaman solat di Masjid Istiqlal Jakarta yang merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara. Struktur dan seni bina masjid ini berdiri gah dengan sentuhan moden.

Banda Aceh

Banda_Aceh.png

Bagi merasai kelainan daripada bandar besar Jakarta, anda boleh cuba ke Banda Aceh. Tidak seperti kota yang pesat membangun dan padat dengan hiruk pikuk manusia, Banda Aceh mempunyai aura yang lebih menenangkan. Diuji dengan tsunami, destinasi ini sesungguhnya akan mengingatkan anda akan hakikat kebesaran Sang Pencipta. Sungguh menginsafkan apabila dapat melihat dengan mata sendiri sejarah tsunami yang pernah melanda Aceh melalui muzium dan monumen bersejarah yang dibangunkan. Selain itu, lokasi tarikan lain yang boleh anda pergi adalah:

  • Muzium Tsunami Aceh
  • Muzium Negeri Aceh
  • Muzium Kapal PLTD Apung
  • Taman Makam Tsunami Kampung Siron
  • Ulhee Lheue Beach
  • Pasar Aceh
  • Pantai Lampuuk
  • Kapal di Atas Rumah
  • Gunongan

Banda Aceh atau nama jolokannya Serambi Mekah juga terhias indah dengan binaan masjid yang banyak. Contohnya, yang paling terkenal adalah Masjid Raya Baiturrahman, kemudian Baiturrahim Ulhee Lheue Mosque dan Harun Keuchik Leumik Mosque. Kalau anda mahu menikmati juadah tempatan Aceh, boleh berjalan di sekitar Pasar Aceh. Mi Aceh dan martabak Aceh antara hidangan yang wajib anda cuba!

Ho Chi Minh

Ho_Chi_Minh.png

Bandar Ho Chi Minh di Vietnam atau dahulunya dikenali dengan nama Saigon pula kian menjadi tarikan ramai. Apabila anda menjejakkan kaki ke bandar ini, mata anda bakal disajikan dengan kesibukan kotanya yang mengangkat pertembungan antara kota lama dan kota baru Vietnam dalam kawasan yang padat. Antara tarikan paling menarik di sini adalah:

  • The Old Post Office
  • Hundreds of Years Red Cathedral
  • People's Committee Hall
  • French Opera House
  • Saigon City Hall
  • War Museum

Tidak sah kunjungan ke Vietnam jika anda tidak merasai makanan lokal mereka iaitu pho (hidangan mi dengan kuah yang kaya dengan paduan herba segar dan pilihan ayam atau daging), banh mi (sandwic baguette yang rangup dan diisi dengan pilihan seperti daging, keju, sayuran, telur, sosej dan sos istimewa), cha gio (fried spring rolls dengan inti daging dan sayuran), dan sudah tentu kopi Vietnam.

Selain itu, anda juga boleh island hopping di Mekong Delta. Anda boleh menaiki bot dan melayari sungai Mekong. Chu Chi Tunnel turut menjadi tempat pilihan untuk mendalami sejarah peperangan Vietnam menentang askar US. Pada waktu malam pula, jangan lupa untuk ke pasar Ben Thanh. Terdapat banyak pilihan makanan tempatan yang ada di sini. Seterusnya, Saigon Central Mosque juga terkenal kerana tarikan struktur binaannya yang tradisional dan boleh anda singgah untuk solat. Di bahagian luar sekitar masjid, banyak peniaga yang menjual makanan halal yang boleh anda cuba.

Seoul

Seoul.png

Pencipta K-Pop dan K-Drama pula sememangnya tidak akan lepaskan peluang untuk ke Korea. Bandar Seoul menjadi tumpuan utama kerana lokasinya yang mudah akses kepada tarikan menarik dan juga makanan halal. Jika berpergian ke Seoul, anda boleh pergi ke beberapa tarikan ini:

  • Everland Theme Park
  • Safari World
  • Gyeongbokgung Royal Palace
  • Seaweed Museum
  • Hyundai Hanriver Cruise
  • Cheangaecheon Stream with HiKR Ground
  • Seoul Forest
  • Nami Island

Setibanya di Gyeongbokgung Royal Palace, anda boleh cuba menggayakan hanbok iaitu pakaian tradisi Korea. Untuk pengalaman membeli-belah yang unik, anda boleh berkunjung ke lokasi seperti Red Pine Gallery, Cosmetic Shop dan Amethyst Factory. Selain itu, anda juga boleh habiskan masa berjalan di Myeondong. Inilah masanya untuk anda lihat variasi produk penjagaan wajah dan kosmetik jenama Korea di sini. Untuk makan-makan di Myeondong pula anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan status halal makanan berkenaan. Jika tidak pasti, ringankan mulut untuk bertanya tentang bahan-bahan yang digunakan dalam masakan. Tidak susah untuk anda tunaikan kewajipan solat sepanjang berada di Seoul. Antaranya, anda boleh singgah di Central Mosque di Itaewon Street.

Baca lanjut di sini: Itinerari 6H4M Ke Korea Musim Luruh

Tokyo

Tokyo.png

Selain Seoul, Tokyo Jepun juga menjadi destinasi lain yang mesti anda singgah untuk melihat keunikan budaya mereka di sana. Tokyo kaya dengan tarikan budaya tradisi yang unik, selain manga, anime dan permainan video. Antara tempat yang popular dalam kalangan pelancong adalah:

  • Sensoji Temple
  • Nakamise Shopping Street
  • Tokyo Skytree
  • Ameyoko Street
  • Akihabara (electric town)
  • Street of Harajuku, Shibuya dan Omote Sando
  • Shinjuku JR Station
  • Tokyo Tower
  • TeamLab Borderless Tokyo
  • Diver City

Setibanya di Asakusa, anda boleh meinkmati Green Tea Ice Cream (kedai berdekatan Sensoji Temple), Sweet Strawberry Mochi, Wagashi sweet, Taiyaki dan Mont Blanc dessert shop yang halal. Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh merasai keenakan daging wagyu Jepun dan ramen halal di Tokyo! Untuk menunaikan solat pula, anda boleh singgah di As Salaam Mosque Okachimachi, Ueno, Fujikawaguchiko Mosque atau Tokyo Camii Mosque. Sangat mudah sebenarnya untuk berhenti dan menunaikan solat di Tokyo, selain dapatkan makanan halal.

Untuk menikmati pemandangan Mount Fuji, anda tidak boleh lepaskan peluang untuk pergi ke Lake Saiko dan Oishi Park yang berlatar belakangkan Mount Fuji yang cukup indah!