Berwangi-wangian Mengikut Gaya Rasulullah SAW
Hanan Latip
4/24/2024
.jpg)
Fakta penting yang anda wajib tahu ialah alam semula jadi merupakan pembekal haruman berkekalan kerana bersumberkan dari kulit pokok kelopak bunga, akar, biji benih, buah-buahan dan daun.
Dari sumber itu, ia dijadikan minyak wangi dan sehingga kini ia kekal digunakan! Tahukah anda, Nabi Muhammad SAW suka akan wangian kerana Baginda ingin tampil bersih dan wangi. Mari kita ketahui lebih lanjut mengenai berwangi-wangian mengikut cara Rasulullah.
Berwangi-wangian adalah sunnah Nabi dan Baginda amat menganjurkan umatnya untuk memakai wangian terutamanya ketika melakukan ibadah. Hal ini kerana, untuk menjaga hubungan dengan jemaah lain ketika solat agar tidak menyakitkan hidung sesiapa yang berada berdekatan disebabkan bau badan atau peluh.
Jenis Wangian Yang Disukai Nabi
1. Bau Kasturi
Bauan Kasturi berasal dari darah dalam pundi kijang. Kasturi juga dikenali sebagai bauan dari syurga.
Diriwayatkan oleh Muslim sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah bersabda, maksudnya "Kasturi adalah minyak wangi yang paling terbaik sekali."
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sebaik-baik harum-haruman (buat kamu) ialah misk/kasturi.” (Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dari jalan Abu Said al Khudriy)
2. Bau Ambar
Ambar atau ambergris ialah badan berlilin di dalam usus sesetengah pasu sperma. Setelah dikeringkan, ia akan mengeluarkan bau yang kuat dan digunakan dalam minyak wangi yang mahal.
3. Bau Kayu Gaharu
Tahukah anda, bukhoor ialah potongan kayu gaharu yang diproses dan kemudiannya dicampur dengan pelbagai pati haruman seperti minyak gaharu. Dengan menggunakan bukhoor, ia dapat mewangikan rumah.
Setiap pokok gaharu akan mengeluarkan ratusan jenis bau dan jika tinggi gred pokok tersebut, maka lebih harum bauan tersebut.
Bagaimana pula dengan wanita yang memakai wangi-wangian?
Wanita juga boleh memakai wangian tetapi ada syaratnya iaitu, wangian yang tidak kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki.
Minyak wangi untuk kaum lelaki dan wanita adalah berbeza.
Nabi SAW bersabda:
“Wangian lelaki apa yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya dan wangian perempuan apa yang tersembunyi baunya dan nyata warnanya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)
Sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina.” (Riwayat Abu Daud (4173) & Al-Nasa’ie (5126))
Al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan bahawa hadis ini bermaksud perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/147]
Jika ingin menggunakan bauan yang kuat apabila bersama suami, adalah diperbolehkan.
Penggunaan deodoran, bedak talkum, sabun dan sebagainya untuk menghilangkan bau badan boleh digunakan.
Diharapkan perkongsian mengenai wangian mengikut cara Rasulullah dapat menambahkan kecintaan kepadanya juga memperoleh keberkatan juga pahala dalam melakukan perbuatan harian.