Tip Mudah Buat Umrah Bawa Anak Kecil

Ayu Nadirah

12/21/2023

umrah_bersama_anak_kecil.jpg

Buat yang bergelar ibu bapa, mesti rasa susah jika nak berjauhan dengan anak. Apatah lagi jika pemergian itu memakan masa berminggu-minggu lamanya. Seperti pergi mengerjakan umrah, ada yang mengatakan agak sukar membawa anak kecil bersama. Adakah sempurna ibadah kita nanti, jika fokus beralih kepada menguruskan anak? 

Jangan risau, anda kena ingat bahawa anak adalah antara penyumbang kepada rezeki keluarga. Jangan anggap mereka sebagai beban. Malah anggap ibadah bersama anak itu bakal menerima ganjaran pahala yang besar dari sisi Allah. Khusus untuk anda yang tak tahu macam mana nak menguruskan anak di tanah suci, di sini kami kumpulkan beberapa tip berguna yang dapat bantu melancarkan perjalanan anda di sana nanti. 


SEBELUM MENUNAIKAN UMRAH

1. Mulakan dengan niat yang betul 

Bermula sebelum bergerak mengerjakan umrah, anda kena niatkan ibadah umrah ini kerana Allah SWT. Niat untuk mendapatkan pahala membawa anak ke sana. Sentiasa berfikiran positif. Jangan menganggap perjalanan umrah membawa anak sesuatu yang leceh. 

2. Latih anak dari awal

Sebelum menjejakkan kaki ke sana, didik anak serba sedikit tentang ibadah umrah. Tunjuk kepada mereka gambaran tentang Mekah dan Madinah. Jelaskan kepada mereka kenapa perlu menunaikan umrah, selain ajar mereka cara bersolat dan doa mudah.

3. Lakukan perancangan yang teliti

Lakukan carian di internet tentang pengalaman mereka yang pernah membawa anak. Ambil tahu tip dan nasihat mereka. Belajar juga cara solat sambil dukung anak, apa perlu buat jika anak meragam sewaktu solat apatah lagi jika anak itu masih bayi.

Selain itu, pilih pakej umrah dengan hotel yang dekat iaitu kira-kira 50 meter daripada masjid. Pergerakan dengan anak mungkin agak terbatas. Dengan memilih hotel yang dekat, mudah untuk anda berulang-alik jika ada keperluan seperti menukar pampers, baju dan sebagainya. 

4. Peka dengan keperluan anak

Sediakan senarai kelengkapan dan keperluan si kecil sepanjang di sana. Pilih dan bawa mengikut keperluan anak anda, juga keadaan cuaca. Jika anak masih bayi, boleh saja bawa carrier untuk memudahkan perjalanan kelak. Anda boleh juga bawa stroller ringan boleh lipat.

Tip_Mudah_Umrah_dengan_Anak_Kecil.jpg
Muat turun Checklist Lengkap Barangan Kelengkapan Dan Keperluan Si Kecil Semasa Umrah

KETIKA MENUNAIKAN UMRAH

umrah_bersama_anak_kecil_2.jpeg

1. Jaga kebersihan anak sepanjang masa

Untuk yang membawa si kecil yang masih memakai lampin pakai buang, anda kena kerap tukar setiap kali sebelum bergerak ke masjid. Sebaiknya, sebelum tawaf atau sa’ie, tukar lampin dan pakaian mereka, supaya anda tidak membawa najis ketika melakukan ibadah. Jangan lupa bawa beg yang ada semua barangan keperluan mereka setiap masa, terutama antara waktu Maghrib dan Isyak yang kebiasaannya ramai hanya duduk di masjid dan melakukan ibadah sunat.

2. Si kecil perlu cukup makan, rehat dan tidur

Anda lebih tahu perangai anak anda seperti waktu makan dan tidurnya, juga apa yang boleh buat dia meragam dan cara mendiamkannya. Mungkin agak sukar membuatkan si kecil tidur dengan perubahan waktu. Ajar dan lakukan aktiviti yang boleh memaksa mereka tidur pada waktu yang tepat supaya dapat bangun dengan emosi yang baik. 

Tetapkan waktu rehat atau nap mereka iaitu selepas solat Zuhur dan makan tengahari. Balik ke hotel dan biarkan anak berehat. Setelah itu, anda boleh kembali ke masjid untuk solat Asar. Selain rehat yang cukup, pastikan juga mereka dapat makanan yang secukupnya. Jika anak cerewet soal makan, bawa saja bekalan snek yang biasa dimakan ke sana. 

3. Bergerak awal ke masjid dan dapatkan tempat selesa

Biasakan diri untuk gerak ke masjid kira-kira satu jam sebelum masuk waktu solat. Anda boleh memilih tempat yang agak belakang dan tepi sedikit yang berdekatan tiang atau dinding. Di situ bukan laluan jemaah, jadi lebih privasi untuk bersama anak. Jika membawa bayi dan dia sedang tidur, boleh saja letak di atas lantai berlapik kain. Andai dia berjaga, maka anda terpaksa dukung atau letak dalam carrier dan bawa solat bersama. 

Anak yang agak besar sedikit lebih mudah kerana biasanya mereka akan duduk diam di tepi sewaktu solat, atau solat bersama. Jika anak lasak dan sukar dikawal, boleh pakaikan harness dan ikat padanya. Jadi bila anda solat, dia tak boleh pergi ke mana-mana. 

Selain itu, ada juga tip yang menyatakan jika bawa anak kecil adalah lebih baik habiskan masa beri'tikaf di rooftop Masjidil Haram kerana kawasannya yang lebih lapang dan selesa. Anak anda boleh berjalan dan berehat dengan tenang di sini. 

4. Laksanakan umrah pada waktu tidak sibuk

Pilih pakej umrah bersama ejen yang mesra kanak-kanak, mungkin mereka ada waktu tertentu yang telah ditetapkan untuk melakukan tawaf dan sa’ie. Tetapi jika anda pergi secara persendirian, anda boleh pilih untuk lakukan umrah pada waktu malam iaitu 10 malam ke atas. Waktu ini anda tidak perlu terlalu bersesak dengan orang ramai. Jadi mudah untuk menyempurnakan umrah bersama si kecil.

5. Saling bertolak ansur

Ada tip yang dikongsikan seorang jemaah sebelum ini di mana kaum lelaki yang membawa bayi lebih mudah masuk ke dalam Raudhah berbanding wanita. Masa yang diambil untuk ke dalam juga lebih singkat. Para isteri boleh berbincang dengan suami jika mereka boleh tolong bawa anak bersama ketika ke Raudhah. Anda boleh bergilir dengan pasangan untuk membawa anak solat bersama supaya perjalanan umrah lebih selesa dan berjalan dengan lancar. 

6. Perbanyakkan doa

Sepanjang di tanah suci, keluarkan kata-kata yang baik buat si kecil. Sabar melayan karenah mereka. Amalkan zikir Ya Latif dan doa semoga Allah mempermudahkan urusan umrah anda sekeluarga. Insyaallah dengan niat yang baik, Allah mesti bantu. 

Perjuangan membawa anak kecil ketika umrah mungkin saja menjadi asbab kepada umrah yang mabrur. Ujian dan kesabaran yang tinggi membuktikan ketaqwaan yang hebat kepada Allah SWT. Buat anda yang mempunyai pengalaman membawa anak kecil mengerjakan umrah, boleh berkongsi kisah dan tip anda pada ruangan komen di bawah!


  • Semak pula Panduan Menunaikan Umrah Bersama Orang Tua, Pesakit Kronik Dan Kurang Upaya